Omega 3 rangsang perkembangan minda bayi

Kasih sayang, pemakanan berkhasiat dan genetik juga faktor penting melahirkan anak pintar

KEPINTARAN dan perkembangan minda bayi boleh dirangsang sejak dalam kandungan. Stimulasi terhadap bayi termasuk membacakannya buku boleh dilakukan apabila kandungan memasuki usia empat bulan.

Rangsangan berterusan, kasih sayang, pemakanan berkhasiat dan genetik adakan faktor gabungan bagi melahirkan anak pintar.

Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Kampung Baru, Dr Khairul Azman Mohd Khalid, berkata menerusi teknik imbasan otak terkini, dakwaan penyelidik sejak 20 tahun lalu iaitu persekitaran bayi memberi kesan dramatik kepada perkembangan otaknya sudah terbukti.

Selama berdekad-dekad saintis dan penyelidik seluruh dunia cuba memahami perkembangan janin dalam rahim. Sekitar 1970an, saintis begitu teruja apabila mendapati janin di dalam rahim peka terhadap persekitarannya.

Sekitar 1980 pula, saintis mula menemui bukti janin boleh mendengar, merasa, melihat dan menikmati pengalaman baru pada penghujung usia kehamilan.

Semua penemuan itu disahkan beberapa penyelidik terkemuka seperti Dr Glenn Doman dan Dr M Shichida. Penyelidikan lima dekad oleh Shichida pula mendapati ketika janin membesar di dalam rahim, dia menerima rangsangan daripada persekitaran di luar rahim menerusi ibunya.

Semua rangsangan ini membentuk pengalaman baru kepada janin yang membantu pertumbuhan otak.

Bagaimanapun kata Dr Khairul Azman, melahirkan anak pintar tidak cukup sekadar mempertaruhkan faktor genetik dan kekerapan rangsangan pada janin tetapi juga banyak faktor lain perlu digabungkan.

“Melahirkan anak pintar bermula pada peringkat pemilihan jodoh. Kepintaran anak diwarisi menerusi genetik. Ibu yang pintar tetapi ayah kurang pintar memberi peluang anak mewarisi 50 peratus kepintaran. Tetapi kalau kedua-duanya bijak, peluang mendapat anak bijak lebih besar,” katanya.

Kecerdikan ibu bapa tidak semestinya bergantung kepada segulung ijazah walaupun pada umumnya semua lepasan universiti itu bijak pandai belaka. Kecerdikan mungkin boleh diukur pada bakat dan kemahirannya dalam bidang seni, pertukangan atau kejuruteraan.

Faktor genetik itu pula perlu digabungkan dengan kesihatan ibu yang baik. Justeru pemilihan makanan berkhasiat, pengambilan vitamin dan zat galian yang betul dan mencukupi sepanjang tempoh kehamilan juga penting.

Pemakanan untuk anak yang bijak dan sihat

“Jangan ambil ubat-ubatan herba atau apa saja ubat yang kononnya memudahkan bersalin dan mengurangkan kesakitan bersalin. Ia sebenarnya tidak banyak membantu,” katanya.

Pengambilan minyak ikan Omega 3. Ia adalah makanan terbaik untuk perkembangan otak bayi. Kandungan EPA dan DHA yang boleh ditemui dalam minyak ikan diperlukan untuk perkembangan yang sihat.

“Minyak ini juga komponen terpenting dalam pembentukan sistem saraf dan retina. Kekurangan satu atau kedua-duanya dikaitkan dengan kelahiran bayi pra matang atau bayi lahir dengan berat badan bawah paras normal,” katanya.

Minyak ikan juga penting untuk ibu. Pada peringkat ketiga kehamilan, ibu akan memindahkan kebanyakan simpanan DHA kepada janin, yang diperlukan untuk pembentukan sistem saraf dan otak bayi. Justeru keperluan kepada Omega 3 sangat penting kerana bayi hanya boleh mendapatkan khasiat ini melalui ibu. Kesihatan ibu boleh terancam jika tidak mendapatkan bekalan secukupnya.

Kekurangan EPA dan DHA boleh menyebabkan ibu hamil mengalami masalah tekanan darah tinggi (yang akan dihadapi pada waktu kehamilan saja). Ketika hamil juga ibu akan kehilangan tiga peratus jisim otaknya disebabkan kekurangan EPA dan DHA. Sesetengah saintis percaya keadaan ini membawa kepada masalah tekanan perasaan selepas bersalin seperti gila meroyan.

Satu lagi pemakanan terbaik untuk bayi adalah susu ibu. Sebaik-baiknya berikan anak anda susu badan sehingga dia berusia dua tahun atau sehingga dia berusia enam bulan. Bayi yang menyusu badan dikatakan lebih cerdik berbanding bayi tidak menyusu badan.

Ketika bayi mencecah usia enam bulan, perkenalkan makanan tambahan seperti bubur nasi. Bagaimanapun ini tidak bermaksud ibu boleh menghentikan pemberian susu badan.

“Ibu tidak bekerjaya berpotensi tinggi mendapatkan anak bijak menerusi sentuhan dan belaian berterusan berbanding anak yang diletakkan di pusat jagaan atau ditinggalkan dengan pembantu rumah,” katanya.

Sepanjang kehamilan juga kata Dr Khairul Azman, penting bagi orang Islam berdoa untuk memastikan keselamatan dan kepintaran anak yang bakal dilahirkan.

Pembinaan kepintaran bayi selepas dilahirkan

Tiga tahun pertama adalah tahap usia anak paling penting. Ketika ini otaknya sibuk membina sistem jaringan. Aktiviti otak menghasilkan rangkaian elektrikal kecil dikenali sebagai ‘synapses’ (sinaps - pertemuan neuron dengan organ efektor).

Jumlah rangsangan yang diterima bayi memiliki kesan langsung pada jumlah sinaps yang terbentuk. Rangsangan berterusan akan memperkemaskan hubungan itu dan menjadikannya kekal.

Perkembangan otak pada ketika ini berlaku sekali saja seumur hidup dan ibu bapa berpeluang membantu anak merangsang pembentukan litar otaknya.

Bagaimana merangsang bayi

1. Kasih sayang - Anak yang diletakkan di pusat jagaan punya banyak rangsangan tetapi kurang kasih sayang! Anak tidak pernah cuba untuk memanipulasikan ibu bapanya jauh sekali mengawal anda. Kasih sayang adalah keperluan biologi anak. Kasih sayang menghasilkan kekuatan dalaman padanya dan meningkatkan pembangunan otak.

2. Bercakaplah dengan bayi anda - Bercakap dengan pelbagai nada, pelbagai bahasa, tatabahasa dan hasilkan banyak mimik muka. Suara anda adalah irama paling merdu dan menjadi pujaannya (kerana dia sudah mendengar suara itu sejak dalam rahim).

3. Bertindak balas - Jangan mengelak dengan sebarang permintaannya. Ini bagi memberitahu dia boleh berkomunikasi dengan orang lain dan memberikan kekuatan rasa percaya dan emosi yang stabil. Jangan biarkan dia menangis terlalu lama. Bertindak balas apabila dia menangis kerana menerusi tangisan anda berupaya menterjemahkan permintaannya.

4. Sentuh bayi anda - Penyelidik mendapati bayi yang lahir kurang matang tetapi diurut akan membesar dengan cepat, kurang menangis dan akan dikeluarkan dari hospital lebih awal.

5. Berikan pengalaman baru - Bawa dia bersiar-siar, membeli belah dan beri dia nikmati pengalaman baru.

6. Bacakan buku - Walaupun bayi tidak akan mengikuti cerita yang anda bacakan, dia akan tertarik dengan gambar ditunjukkan dan suara anda yang pelbagai nada ketika bercerita.

7. Biarkan dia menjelajah suhu berlainan dan tekstur berbeza. Berikan dia ruang untuk meneroka secara sendirian.

8. Mainkan muzik - Muzik Mozart didapati boleh merangsang sesetengah nueron dalam otak yang kemudiannya digunakan untuk matematik.

9. Apabila anda rasa marah atau geram kerana bayi anda kerap menjatuhkan barang perhiasan atau buku atau menumpahkan makanan ke lantai, sebenarnya dia cuba mengetahui bagaimana dunia ini berfungsi.

Fakta

Tumbesaran

* Bayi punya keperluan biologi dan keinginan untuk belajar.

* Asas jaringan sinaps otak hampir sempurna selepas pembentukan otak secara berterusan.

* Lagi banyak rangsangan pengalaman diberikan, lagi banyak jaringan dibina untuk keperluan pembelajaran pada masa hadapan.

* Bayi suka pada imej kontras. Bayi yang berusia 0-setahun sukakan warna merah, hitam dan putih.

* Rangsangan visual boleh menghasilkan lebih peluang untuk dia belajar menerusi kepekaan, penumpuan dan kecurigaannya.

* Tidak perlu membeli banyak permainan jika tidak digunakan kerana ‘toy’ bayi yang terbaik adalah anda selaku ibu bapanya. Justeru manafaatkan setiap saat untuk berinteraksi dengannya.

Pemakanan

a) Peringkat tiga bulan pertama kandungan - keutamaan hanya pada pengambilan asid folik sama ada menerusi sayur-sayuran atau dalam bentuk tablet. Pemakanan ibu pada peringkat ini untuk memastikan perkembangan organ janin yang sempurna. Pada peringkat ini pemakanan tambahan yang lain belum diperlukan.

b) Peringkat kedua dan ketiga kehamilan - pengambilan asid folik ditambah dengan pengambilan zat besi, B kompleks, dan omega 3.

Tini Alif

20 years of experience within the technical, manufacturing and services environment. Assists brands and companies to achieve their targeted and potential customer through writing service such as article writing, copywriting, ghostwriting, manuscript writing, technical writing, content marketing and translation amongst others. Interested to collaborate? Email: hartini.hussain.work@gmail.com or WhatsApp at +601154054677

Post a Comment

Previous Post Next Post