Anak-anak di Palestina
buminya rekah dan resah
dicekau senjata dan dengki;
batinnya terasak rosak
dicakar dendam yang ngeri.
Kini mentari tenat dan remuk,
cinta ditelan sekam malam.
Bumi Palestina cacat dan sakit,
sengat, racun menyentap nafasnya.
Antara duri dan kerikil mencengkam,
tempur dan cungap bersanggah,
mulut-mulut muda terus berdarah.
Anak-anak Palestina yang resah,
bara berang mengunyah alamnya
meretakkan watak dan wajah,
derita paling sengsara.
Bunga-bunga kering berapungan
darah membuak berontak.
Kekacauan menggigit kalut jiwa
cacar dan cemar; getir dan perit;
gigil dan hangus. Nisan yang nisan.
Api yang api. Api dan api.
Anak-anak Palestina bentengnya cekal.
Bapa-bapa nazak di sisi pusara;
ibu-ibu asuhi warisan yang garang
mereka tenaga gempa
yang panjang menggugat
tank, kopter dan peluru, menggelorakan
wira yang syahdu.
Musafir Palestina yang termangsa
mendobrak peragut akar watan.
Mereka, pewaris sabar dan waja
mengasihi setiap pasir buminya
melawan taufan syaitan
yang merasuk pelosok buananya
penuh gamam, penuh dendam.
Mereka retak yang tajam. Denyut menyala.
Mereka kawah marak paling merah.
Dan sengat zaman.
Anak-anak Palestina yang tergugah,
unta-unta tersisih yang luka
dalam kedurjanaan liar kasar,
dalam kemusnahan golak gelegak
belajar hidup utuh dan indah
mengutip sisa dan nadi maruah
daripada sejarah yang kusut.
Mereka rahsia telaga mesra,
pohon-pohon kurma remaja,
diranumi nurani
amarah dan sumpah bangsa
yang pantang menyerah.
Dan di sini --
angin Ranau, nafas Semantan, degup Melaka,
mengucupi jantungmu yang terkelar.
Anak-anak Palestina yang tabah,
unta-unta tersingkir yang cedera,
sengat racun menyentap nafasnya.
Angin Ranau, nafas Semantan, degup Melaka,
suara saka, sakti dan sasa
menggemakan jerit dan raungmu.
Dan kau, dalam debu dan udara yang bisa,
kawah ledak saling gelegak,
enggan hangus atau pupus; dan enggan kalah.
Nukilan: A Samad Said
13 Comments
suka betul karya A Samad Said ni, sangat dekat di hati. Moga Allah sentiasa pelihara rakyat palestine.aamiin
ReplyDeletejom sama-sama..kit abantu pelestine perjuangkan negara nya.. demi agama tercinta.. Allahuakbar
ReplyDeleteMoga dipermudahkan urusan semua, sama ada di Palestin mahupun kita seluruh dunia dengan ancaman pandemik. Banyakkan berdoa moga dipermudahkan ye.
ReplyDeleteTakpe, kita tak mampu nak kesana bersama dengan mereka, kita mampu berdoa dan sebarkan awereness dari social media pun dah cukup.
ReplyDeleteHope everyone will get justice and these poor people will be saved from all this terror
ReplyDeleteSedih tengok berita2 berkenaan isu ni.. unsolved problem since forever! hopefully both dapat capai peace for better future..
ReplyDeleteKesian sangat dengan rakyat Palestine. Ramai cakap, kalau kita berjuang sebab humanity. Baru ramai akan setuju. Kalau berjuang demi agama Islam. Ramai akan taknak masuk campur. Tapi mereka lupa, melalui agama Islam la terdapat ramai Muslims berjuang. Kita berjuang utk banyak perkara, sebab Islam, Al-Aqsa, humanity dan sikap Israel itu sendiri yang telah dimaklumkan betapa kejamnya Zionist ni. Perjuangan akak, melalui socmed dan sumbangan. Di socmed akak tepek je gambar info bermanfaat. Semoga rakyat Palestine terus kuat. Akak suka melihat anak-anak Palestine khatam Al-Quran pada awal usia. Berbeza dengan anak-anak Malaysia yang bermain sahaja kejenya. Fokus kepada sesuatu perkara pun kelaut. Hahaha.
ReplyDeleteMoga ianya akan berakhir dengan kemenangan dan rakyat Palestine akan mendapat kebebasan selamanya tanpa di jajah oleh pihak Yahudi.. #SavePalestine
ReplyDeleteSedih bila tengok anak2 palestin ni.. Diaorang kuat dan tabah.. Semoga Palestin bebas dari kezaliman..
ReplyDeletepray for Palestine everyday. I wish the war is stop soon and the people stay safe there.
ReplyDeleteWalau apa saja cara, buatlah! Buktinya tahap sokongan terhadap bumi Palestin. Bantu mereka yang tidak bersalah.
ReplyDeleteNice karya by A. Samad Said.suka baca karya yang bersemangat dalam perjuangan dalam bentuk penulisan
ReplyDeleteYa Allah, Selamatkan Saudara Kami Di Palestin!!!
ReplyDelete