CARA NAK ELAK ANAK KETAGIH GAJET TANPA PERLU MENJERIT

Zaman sekarang ni, gajet dah jadi macam benda wajib dalam hidup – bukan je untuk orang dewasa, tapi anak-anak pun sama. Kadang-kadang kita ni, baru nak duduk minum air pun anak dah minta telefon. Nak masak, nak lipat kain, nak bagi tenang masa meeting online… akhirnya kita ‘bagi je’ gajet sebab nak redakan keadaan. Tapi lama-lama, kita mula risau… anak makin kurang bercakap, susah nak fokus belajar, tantrum kalau tak dapat gajet. Jadi… macam mana nak elak anak jadi ketagih gajet, tanpa perlu jerit, marah-marah atau rampas gajet secara mengejut? Meh sini Kak Tini kongsikan beberapa cara yang boleh bantu kita semua.

CARA NAK ELAK ANAK KETAGIH GAJET TANPA PERLU MENJERIT

Jadikan Gajet Sebagai Ganjaran, Bukan Kewajiban

Kita kena ubah persepsi anak bahawa gajet tu bukan hak mutlak mereka. Gajet sepatutnya jadi ganjaran lepas mereka buat sesuatu yang baik. Contohnya, "Lepas siap kerja sekolah dan tolong ibu kemas mainan, baru boleh tengok YouTube 30 minit." Contoh macam anak Kak Tini – bila dia tahu gajet hanya akan diberi bila dia 'berjaya', dia mula usaha lebih. Tak payah jerit pun. Kita cuma perlu konsisten dengan peraturan. Bila anak tahu masa gajet tu boleh hilang kalau dia tak ikut peraturan, mereka akan lebih berhati-hati. Ini juga mengajar anak tentang nilai usaha – bukan semua benda datang dengan mudah.

Tetapkan Masa Skrin Yang Jelas dan Konsisten

Setiap rumah kena ada jadual masa skrin. Kalau tak, anak akan tengok bila-bila masa dia suka hati. Kita pula nanti jadi penat sebab asyik kena tegur atau larang. Contohnya, tetapkan hanya 1 jam masa skrin selepas waktu sekolah dan sebelum makan malam. Kalau anak minta lebih, kita boleh rujuk balik jadual tu. Ini lebih mudah daripada perlu menjelaskan atau melarang tanpa rujukan. Kak Tini suka tulis jadual tu besar-besar dan tampal kat peti ais – biar satu rumah nampak. Konsistensi tu penting. Bila kita konsisten, anak pun akan belajar terima. Jangan pula hari ni boleh 3 jam, esok marah sebab lebih 1 jam – anak pun jadi keliru.



Cari Aktiviti Alternatif Yang Seronok dan Aktif

Salah satu sebab anak melekat dengan gajet ialah… dia bosan. Bila kita sebagai ibu bapa sediakan alternatif, anak akan ada pilihan lain untuk isi masa. Contoh? Main lego, buat seni kraf, tolong ibu masak, atau aktiviti luar rumah macam naik basikal, main belon sabun, main air kat bilik air pun kadang boleh buat mereka seronok! Kalau ada ruang, buat satu sudut aktiviti dalam rumah. Letak barang-barang kraf, buku, permainan membina… biar anak tahu ada banyak lagi benda seronok selain skrin. Kak Tini perasan, bila anak sibuk dengan benda fizikal yang merangsang kreativiti, dia lupa terus nak minta gajet.

Jadilah Contoh – Kurangkan Gajet Di Tangan Kita Dulu

Ni paling pedih tapi paling berkesan. Kalau kita sendiri asyik pegang telefon, anak pun ikut. Kadang kita tak sedar… kita sendiri tengok TikTok sambil makan, scroll IG sambil anak ajak main. Jadi, jom kita sama-sama ubah. Masa makan, simpan telefon. Masa main dengan anak, tinggalkan sekejap handphone kat bilik. Bila anak nampak kita letak gajet dan beri perhatian pada mereka, dia pun akan rasa dihargai dan tak terlalu bergantung pada skrin. Dan bila anak bosan, dia akan cari kita, bukan telefon.



Wujudkan Rutin Tanpa Skrin Dalam Hari Mereka

Anak-anak suka pada rutin. Kalau dari kecil kita dah ajar, “lepas mandi petang kita main kat luar”, atau “lepas makan malam kita baca buku cerita sama-sama”, mereka akan terbiasa. Gajet akan jadi nombor dua, bukan yang utama. Kak Tini suka buat ‘family time’ sebelum tidur – baca buku atau main teka-teki. Anak tunggu saat tu sebab dah jadi rutin. Bonusnya, hubungan pun makin erat, anak pun tidur lebih lena sebab tak ‘overstimulasi’ dengan skrin.

Sediakan Kandungan Yang Berkualiti Bila Gajet Dibenarkan

Kadangkala, kita tak boleh elak 100%. Jadi masa anak dapat guna gajet, pastikan kandungannya selamat dan mendidik. Banyak channel YouTube yang bagus – macam Omar & Hana, Didi & Friends dan Pada Zaman Dahulu -  versi cerita teladan. Elakkan konten yang ada banyak iklan, aksi ganas, atau terlalu laju pergerakannya sebab semua tu boleh ganggu fokus dan emosi anak. Install parental control, pantau apa yang anak tengok. Ambil masa untuk tonton sekali dengan anak, jadi kita tahu apa yang mereka suka dan boleh bincangkan kandungan tu sama-sama.



Beri Pilihan dan Libatkan Anak Dalam Perbincangan

Jangan buat semua keputusan sorang-sorang. Libatkan anak dalam tetapkan masa skrin. Tanya mereka, “Kamu nak tengok gajet bila? Pagi atau petang?” Bila anak rasa suara dia penting, dia akan lebih bertanggungjawab. Bila anak buat keputusan sendiri, dia lebih mudah patuh. Contohnya, anak Kak Tini sendiri pilih nak tengok kartun selepas mandi petang. Jadi bila dia minta waktu pagi, senang je Kak Tini cakap, “Kamu yang pilih petang, kan?” – terus dia faham.

Elak Ketagih Gajet Perlukan Strategi

Anak ketagih gajet bukan salah mereka semata-mata – kadang kita sendiri beri terlalu banyak ruang dan masa. Tapi berita baiknya, kita boleh ubah. Yang penting, kena sabar, konsisten dan kreatif cari jalan. Jangan tunggu anak menjerit baru kita nak kawal. Kawal sebelum jadi ketagihan. Mulakan sikit-sikit, dan percayalah, anak akan mampu hidup lebih sihat tanpa terlalu bergantung pada skrin. 💡 Korang ada tips sendiri ke? Meh kongsi dengan Kak Tini kat ruangan komen!

FROM THE RIVER TO THE SEA, PALESTINE WILL BE FREE

xoxo


Post a Comment

1 Comments

  1. kita cuba kawal sebaik mungkin untuk cegah mereka dari melakukan perkara yang tidak baik ..dan mendatangkan mudarat kepada mereka

    ReplyDelete