وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu" [Surah al-A‘raf 180]
Sheikh Muhammad Mutawali Sya'rawi dalam tafsirnya ketika mengulas ayat ini menyebut, Allah swt mengingatkan kita supaya berdoa kepadaNya menggunakan Asmaul Husna kerana Dia menginginkan makhlukNya sentiasa mengingatiNya.
Dan jika kita mempunyai hajat tertentu, adalah menjadi keperluan untuk menyebut Asmaul Husna kerana Asmaul Husna adalah sifat yang sampai kepada martabat nama-nama Allah. Orang yang memerhati dan memikirkan nama-nama ini akan merasai kesempurnaan, keagungan dan keindahan Allah swt.
Berdoa menyebut atau menyeru nama Allah swt yang agung adalah sebagai salah satu cara untuk dimustajabkan doa. Dengan menyebut nama-nama Allah yang agung ini, doa dan permohonan seseorang hamba itu tidak akan ditolak oleh Allah swt, bahkan hal ini dituntut oleh Allah swt.
Allah swt mempunyai nama-nama yang mulia dan agung dan tidak ada beza antara nama-nama tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian para ulamak.
Di dalam tafsir as-Sa'di menerangkan bahawa ayat di atas menjadi dalil tentang keharusan berdoa serta memohon kepada Allah berdasarkan nama-nama Allah seperti seseorang berdoa dengan lafaz ( يا رزاق ارزقني )Wahai Maha Pemberi Rezeki kurniakanlah aku rezeki dan begitulah selanjutnya.
Walau bagaimanapun tujuan utama dalam berzikir adalah untuk mengingati Allah swt dan bukanlah ada tujuan selain daripada itu. Oleh itu, berzikir dengan nama-nama Allah dengan niat dan ikhlas untuk ingat kepada Allah dengan mengaharapkan fadhilat yang ada pada nama-nama tersebut adalah harus. Dengan memperbanyakkan zikir (ingat Allah), InsyaAllah Allah akan merahmati kita seterusnya memberkati usaha-usaha kita.
Daripada Sayidina Abi Umamah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
اسْمُ اللَّهِ الْأَعْظَمُ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ فِي سُوَرٍ ثَلَاثٍ: الْبَقَرَةِ، وَآلِ عِمْرَانَ، وَطه
"Nama Allah yang Agung apabila kita berdoa dengannya akan dimustajab (oleh Allah swt) ada di dalam tiga surah al-Baqarah, al-Imran dan Thaha" (HR Ibn Majah)
Telah berkata Imam an-Nawawi di dalam fatwanya berkaitan nama-nama Allah swt yang agung:
"Padanya terdapat banyak hadis berkaitan hal ini, contohnya seperti di dalam Sunan Ibn Majah dan selain daripada itu. Antaranya hadis seperti di atas yang diriwayatakan oleh Abi Umamah r.a. Telah berkata sebahagian para imam terdahulu yang dimaksudkan dengan nama Allah yang agung di dalam tiga surah tersebut adalah “هُوْ الحَيُّ القَيُّوْمُ” kerana ayat tersebut terdapat dalam surah al-Baqarah iaitu di dalam ayat al-Kursi, di awal surah al-Imran dan ayat ke 111 di dalam surah Thaha iaitu firman Allah swt: “وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ”. Ini merupakan istinbat yang hasan" (Lihat: Fatwa Imam an-Nawawi)
Dengan demikian, maka mengulang-ulang menyebut lafaz Allah swt atau nama-namaNya yang lain yang disebut juga dengan Al-Asmaul Husna adalah dituntut dalam syariat bahkan akan menjadikan hati kita damai dan tenang.
ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَتَطۡمَىِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَىِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia" [Surah Ar-Raʿd 28]
♡Sentiasalah basahkan lidah dengan berzikir dan berdoa terutamanya dengan Al-Asmaul Husna. Moga dimaqbulkan segala hajat dan permohonan kita. Aamiiin♡
0 Comments