Suami dan anak-anak Kak Tini memang pencinta kucing. Kak Tini pula penakut dan geli dengan kucing. Walaupun Kak Tini tidak memegang, memeluk atau bergomol dengan kucing, Kak Tini tetap sayangkan kucing. Siap berborak dengan diorang macam dok berborak dengan anak tau. Seriyes. kalau nak pergi kerja pagi-pagi tu, memang borak dulu dengan si Choco sambil siram pokok bunga kat depan rumah.
Dulu, kami memang bela dalam 6 ekor kucing kat rumah di KL. Atas tuntutan kerjaya, kami sekeluarga pindah ke hujung tanjung ni asbab PKP (stranded sebab tak boleh masuk ke KL dan Selangor). Yelah, sebelum ni kan PJJ beberapa tahun. Masa Kak Tini dok sorang-sorang kat my accommodation dulu pun, tiap-tiap hari memang dok bagi makan kat kucing yang ada di sekitar kawasan tu.
Paling mudah, Kak Tini letak bekas makanan kat depan pintu bilik. Sampai depa dok panggil geng la tunggu depan pintu bilik Kak Tini. Kucing ni pandai gais, dia tahu kita takut, dia takde la datang menyese kat kaki. Dia pandai dok tepi diam-diam. But manja tetap manja. Kak Tini masuk je area accommodation, terus kucing-kucing angkat berlari-lari datang menghampiri.
Adakah ia membebankan? No, it is a theraphy for me. I love them! Kalau seekor daripada diorang takde, mulalah Kak Tini cari kat kawasan sekeliling tau. Punyalah sayang. Masa mula-mula stay kat sini, ada la tiga, empat ekor kucing yang kami sekeluarga bela. Diorang obedient, tak buang air merata-rata, makan pun tak bersepah, memang behave sangat.
Tapi, ada suatu kejadian menyayat hati yang berlaku gais. Kisah ni berlaku masa Kak Tini dah start stay kat area perumahan. Satu malam tu, Oyen dimakan anjing liar! Sedih giler! Kak Tini sampai menangis dok cerita kat officemate on the next day tu korang. Sedih sangat. Ceritanya, beberapa hari sebelum kejdian, memang Oyen manja yakmat dengan kami. Tapi, sebab Oyen ni memang perangai dia ala-ala budak mengada, manja-manja gitu, so, kami buat macam biasa je la. Pada malam kejadian, mula-mula tu, Oyen dok follow je incik suami ke hulu ke hilir. Tutup je pintu rumah, tengok Oyen dok kat atas kereta. Okay lah kan.
Tiba-tiba, dengan bunyi bising-bising kat luar. Anjing menyalak bersahut-sahutan. Padahal area rumah kami tu, memang tak pernah ada anjing yang berkeliaran. Then, terdengat bunyi kecoh kat luar. Oyen mendengus kasar. Masa tu Kak Tini kat toilet. Incik suami cepat-cepat bukak pintu. Sepantas kilat, tak sempat nak buat apa gais. Anjing liar terus sambar dan terkam Oyen kat leher. Oyen cuba melawan tapi gigitan anjing liar tersebut terlalu kuat hingga darah menitis daripada giginya yang menyeringai. Masa tu, geng anjing-anjing liar dah bawak Oyen lari.
Anak-anak menangis sampai hampir seminggu. Kak Tini pulak trauma dan rasa bersalah sangat sebab tak dapat nak selamatkan Oyen. Ia berlaku terlalu pantas. Dalam seminit je rasanya, macam kilat. Incik suami bukak pintu, tengok Oyen dah disambar anjing liar tu. Pintu pagar kunci, sambil nak bukak pagar, group anjing tu dah lari ke arah semak di hujung jalan. Hanya mampu tengok je. Huhuhuhu.
Sampai sekarang, masih teringatkan Oyen walaupun dah 4 tahun berlalu. Tu belum kisah Kiki lagi. Tu pun sad ending jugak. Nanti bebila free, Kak Tini story-mory kat korang okay.
Anyway, baru-baru ini, Kak Tini ada came across posting mengenai bulu kucing. Penulis mencadangkan agar kucing diletakkan dalam sangkar di luar rumah. Well, for me, it depends. Kami pernah bela kucing dengan meletakkannya di dalam sangkar. Kami juga pernah membela kucing yang dibiarkan wandering around di luar rumah. Again, it depends on cara kucing tu bawa diri, didikan kita sebagai tuannya dan persekitaran yang kita diami. Korang baca la kat bawah ni.
Penjelasan daripada MuftiWP:
Secara umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur :
الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة
Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.
Oleh yang demikian, sesiapa yang meneliti akan maksud keharusan hukum, maka dia akan jelas bahawa syarak tidaklah menuntutnya untuk melakukan atau melarangnya dari melakukan, namun syarak memberinya pilihan sama ada untuk buat ataupun meninggalkannya.
Justeru, dalam isu membela kucing ini tidak terdapat nas daripada syarak yang menyuruh seseorang itu membelanya, begitu juga tidak terdapat larangan syarak ke atas perbuatan tersebut. Maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusan.
Meskipun begitu, jika dilihat kepada sirah para sahabat maka kita dapat melihat bahawa ada seorang sahabat yang terkenal memelihara dan menjaga kucing iaitu Abu Hurairah R.A. Bahkan terdapat sebuah riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ beliau berkata:
قلتُ لأبِي هُريرَةَ: لِمَ كنيتَ بِأبِي هُرَيرَة؟ قال: كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة
Maksudnya : Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah ? Lalu beliau menjawab : Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah. Rujuk Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar (7/349)
Maka riwayat di atas jelas menunjukkan bahawa Abu Hurairah memiliki dan membela kucing, yang terbina di atas keharusan melakukan perkara tersebut. Meskipun hukum membela dan memelihara kucing adalah harus, namun perlu diketahui bahawa hukum berbuat ihsan kepada haiwan termasuk dalam perkara yang wajib. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu. Riwayat Muslim (1955)
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa dalam satu riwayat yang lain, hadis ini datang dengan sebutan عَلَى كُلِّ خَلْقٍyang membawa maksud wajib berbuat ihsan kepada kesemua makhluk. Maka tuntutan ini meliputi berbuat ihsan kepada manusia, tumbuhan, serta haiwan.
Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:
لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah. Riwayat Al-Bukhari (2365)
Sebagai kesimpulan, secara asasnya tidak terdapat nas daripada Al-Quran yang menyuruh atau melarang membela kucing. Maka hukum membela kucing adalah harus. Berlaku ihsan kepadanya adalah wajib dan menyakitinya adalah haram. Oleh itu, seseorang bebas memilih sama ada untuk membela kucing atau tidak membelanya. Begitu juga tidak ada masalah untuk seseorang menghalau kucing dari kawasan rumahnya dengan syarat tidak menyakiti dengan menendang, melempar, atau apa-apa cara yang memudaratkan haiwan tersebut.
0 Comments