وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً
"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur" [Surah al-Nisa’ 100]
#Syeikh al-Maraghi berkata: Barangsiapa berhijrah di jalan Allah swt, iaitu dengan tujuan mencari keredaanNya dan untuk menegakkan agamanya sesuai dengan kewajipan bagi dirinya selaras dengan jalan yang dicintai oleh Allah swt, nescaya akan memperoleh tempat yang memberinya kelepasan di muka bumi ini. Jika mereka yang tadinya berasa tertindas, mereka akan mendapat tempat perlindungan sehingga mereka memperoleh kebaikan dan rezeki yang banyak di samping terselamat daripada penindasan dan kehinaan.
Ayat ini mengandungi janji kepada orang yang berhijrah di jalan Allah swt bahawa mereka akan memperoleh kemudahan-kemudahan kehidupan yang lebih baik, terlepas daripada penindasan musuh dan mengalahkan musuh. (Lihat: Tafsir al-Maraghi)
#Ini jelas menunjukkan hijrah mempunyai kedudukan yang mulia dan istimewa dalam Islam. Meneliti sejarah hijrah, terlalu ramai para Rasul melakukan hijrah seperti Nabi Ibrahim Alaihissalam, Nabi Musa Alaihissalam dan lain-lain. Betapa hebatnya hijrah sehingga Allah menjanjikan dengan syurga berdasarkan nas yang banyak sama ada daripada al-Quran dan Sunnah.
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar" [Surah at-Taubah 100]
#Sabda Rasulullah saw:
لَمَّا سُئِل عَنْ أَفْضَلِ الإِيمانِ قَالَ: الْهِجْرَةُ
"Apabila ditanyakan berkenaan seafdhal iman, jawab Baginda saw: "Hijrah" (HR Ahmad)
#Selain itu juga, Ia menggambarkan kehebatan dan kekuatan umat Islam yang melaksanakan hijrah. Justeru sewajarnya umat Islam memahami erti dan makna hijrah. Mudah-mudahan dengan itu kita dapat menghijrahkan diri kita dalam usaha untuk menggapai mardhatillah.
#Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah berkata, Hijrah terbahagi kepada dua:
1. Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
2. Hijrah dengan hati kepada Allah dan RasulNya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah kepada cinta kepadaNya. Daripada Ubudiyyah selainNya kepada Ubudiyyah Allah. (Lihat: al-Risalah al-Tabukiyah)
Peristiwa hijrah Nabi saw ke kota Madinah merupakan satu kisah atau peristiwa yang penting kerana bermula dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia. Jom, teruskan perjuangan dan dakwah sebarkan Islam.
0 Comments