فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
"Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)" [Surah Aali Imran 195]
#Imam Ibn Jarir at-Tabari berkata:" Mereka yang berhijrah dari kaumnya di kalangan orang kafir semata-mata kerana Allah menuju kepada saudaranya di kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan daripada kampung halaman maka Allah janjikan balasan disisiNya" (Lihat: Tafsir at-Tabari)
#Peristiwa hijrah Rasulullah saw dan para sahabat dari bumi Mekah ke bumi Madinah merupakan satu perjalanan sukar menempuhi pelbagai cabaran, tentangan dan halangan, namun, kesudahannya adalah kejayaan.
#Rasulullah saw meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun 14 kenabian bersamaan 12/13 September 622M. Baginda terus menuju ke rumah sahabatnya Sayidina Abu Bakar r.a. Kemudian mereka berdua meninggalkan rumah Sayidina Abu Bakar dari pintu belakang untuk keluar dengan segera dari Mekah sebelum fajar menyinsing. Nabi saw menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha keras mencarinya dan jalan yang akan menjadi tumpuan ramai ialah jalan utama Madinah menuju ke utara. Maka Baginda melalui jalan yang bertentangan sama sekali iaitu jalan yang terletak di selatan Mekah dan menuju ke arah Yaman.
Baginda merentasi jalan ini sejauh lima batu sehingga sampai ke sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Thaur. Bukit ini agak tinggi dengan batu-batunya yang keras serta laluannya yang sukar untuk didaki sehingga kaki Baginda melecet. Dikatakan bahawa Baginda sengaja berjalan menggunakan hujung kaki sepanjang perjalanan untuk menghilangkan kesan tapak kakinya. Sayidina Abu Bakar memapah Baginda dengan bersusah payah hingga sampai ke puncak bukit yang terdapat sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Thaur. (Lihat: Rahmah Li al-Alamin)
#Strategi yang diatur oleh oleh Rasulullah saw, begitu juga yang dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar menyebabkan misi hijrah berjaya. Begitu juga Rasulullah saw sengaja menukar perjalanan ke arah gua Thaur sebagai strategi untuk mengaburi musuhnya.
#Rasulullah saw dan Sayidina Abu Bakar mendiami gua tersebut selama tiga malam iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. (Lihat: Fath al-Bari)
#Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis Anas r.a daripada Sayidina Abu Bakar, katanya: Aku bersama Nabi saw dalam gua. Apabila aku mengangkat kepala, nampaklah olehku kaki-kaki pemburu Quraisy, lalu aku berkata: "Wahai Nabi Allah, kalaulah sebahagian mereka menundukkan pandangannya, nescaya dia akan melihat kita. Baginda menjawab:" Diamlah Abu Bakar, sungguhpun kita berdua tapi Allah swt yang ketiga. Dalam lafaz yang lain menyebutkan: Bukan seperti sangkaanmu wahai Abu Bakar bahawa hanya ada kita berdua sahaja tetapi Allah swt yang ketiganya" (Lihat: Sahih al-Bukhari)
#Ini antara resipi kejayaan hijrah iaitu pergantungan kepada Allah swt dengan jiwa yang benar-benar suci dan hanya mengharapkan redhaNya.
Strategi yang padu tanpa pergantungan kepada Allah swt, akan merosakkan impian dan jika berjaya sekalipun, kejayaan itu akan binasa dan musnah disebabkan tiada redha dariNya.
0 Comments