KEADILAN TANPA SEMPADAN: KISAH SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH DAN ARKITEK AL-RUMI

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَان

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan" [Surah an-Nahl 90]

Syeikh as-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat: Tafsir al-Sa’di)

Terdapat satu kisah Sultan Muhammad al-Fateh dengan arkitek daripada Rom. Sultan Muhammad al-Fateh telah memerintahkan untuk membina masjid di Bandar Istanbul dan beliau melantik seorang arkitek bernama Esplanati al-Rumi, seorang arkitek mahir untuk mengendalikan pembinaan masjid tersebut. Sultan telah memerintahkan supaya membina masjid ini daripada marmar dan tiang masjid ini dibina tinggi supaya ianya kelihatan mewah dan ketinggian itu ditentukan oleh arkitek tersebut.


Tetapi Arkitek al-Rumi telah memberi arahan supaya dipendekkan tiang menjadikan ianya rendah tanpa memberitahu Sultan atau meminta pandangan daripada sultan.

Dan ketika Sultan al-Fateh mendengar berita tersebut, beliau menjadi marah kerana apa yang dibuat oleh arkitek itu tidak ada faedah dan manfaat pada pandangannya dan disebabkan oleh kemarahan beliau, beliau memerintahkan supaya tangan arkitek tersebut dipotong. Walaupun arkitek tersebut telah menyesal namun sesalannya itu sudah terlambat.

Arkitek al-Rumi ini tidak berdiam diri tentang ketidakadilan yang menimpanya. Dia berjumpa dan mengadu kepada Qadhi Istanbul, yang reputasi keadilannya telah tersebar di seluruh kerajaan. Qadhi tidak teragak-agak untuk menerima aduan tersebut ini, dan mengirim utusan kepada Sultan memanggilnya untuk hadir di hadapannya di mahkamah.

Sultan Muhammad al-Fateh pun berdiri di sebelah lawannya, iaitu arkitek al-Rumi, yang menjelaskan aduannya kepada hakim. Dan ketika giliran Sultan untuk berbicara, dia menyokong apa yang dikatakan oleh al-Rumi. Setelah selesai, dia berdiri menunggu keputusan Qadhi, yang berfikir sebentar dan kemudian berpaling kepadanya dan berkata:

"Menurut perintah undang-undang, tangan kamu harus dipotong, wahai Sultan, sebagai hukuman Qisas!"


Arkitek al-Rumi tercengang, dan merasa gementar dengan keputusan yang diucapkan oleh Qadhi dan yang tidak ada dalam fikirannya agar dipotong tangan pembuka kota Konstantinopel. Apa yang ada dalam fikirannya hanyalah pampasan wang sahaja. Dengan suara terpana dan gementar, al-Rumi mengatakan kepada Qadhi, bahawa dia menarik balik tuntutannya, dan bahawa apa yang dia harapkan daripadanya adalah pampasan harta sahaja, kerana memotong tangan Sultan tidak akan menguntungkan apa-apa baginya.

Jadi, Qadhi memerintahkannya untuk membayar sepuluh keping wang untuk al-Rumi tersebut setiap hari sepanjang hidupnya, sebagai ganti rugi atas kerugian besar yang ditanggungnya. Tetapi Sultan Muhammad al-Fateh memutuskan untuk memberikannya dua kali ganda iaitu dua puluh keping wang setiap hari, sebagai ungkapan kegembiraannya atas pembebasannya daripada hukuman qisas tersebut, dan juga sebagai tanda penyesalannya. (Lihat: Rawaie’ min al-Tarikh al-Uthmani)

Keadilan Islam tidak kira siapa kamu dan apapun kedudukan kamu. Maka, berlaku adillah pada semua manusia tanpa khianat dengan amanah yang diberikan.

FROM THE RIVER TO THE SEA, PALESTINE WILL BE FREE

xoxo


Post a Comment

0 Comments